Friday 22 June 2012

♥ DEFINISI PANTUN ♥

DEFINISI PANTUN

Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan perkataan pantun itu mulanya dipakai oran dengan makna seperti atau umpama. Ada pendapat mengatakan perkataan pantun adalah daripada bahasa Minangkabau iaitu penantun yang bermaksud pembimbing yang popular dalam masyarakat tersebut.

Sehingga hari ini, pantun sering digunakan dalam upacara peminangan dan perkahwinan atau sebagai pembuka dan penutup bicara dalam majlis-majlis rasmi. Umumnya terdapat dua jenis pantun utama iaitu pantun berkait dan pantun tidak berkait.

Bilangan baris dalam setiap rangkap pantun dikenali sebagai kerat. Lapan bentuk utama pantun ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat, pantun sepuluh kerat, pantun dua belas kerat, pantun berkait, dan pantun tidak berkait. Pantun yang popular adalah pantun dua kerat dan pantun empat kerat.

Setiap pantun mestilah mempunyai pembayang dan maksud pantun. Pembayang dalam setiap rangkap adalah separuh pertama daripada keseluruhan baris dalam rangkap berkenaan. Separuh rangkap lagi ialah maksud atau isi pantun.

Antara ciri-ciri lain yang ada dalam sebuah pantun adalah pembayangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan alam sekitar dan persekitaran yang rapat dengan pengucapan seperti yang terdapat dalam contoh pantun dua kerat berikut :


Contoh : Todak seluang betutu pari,
Si otak udang guru cabut lari.

Contoh pantun empat kerat :


Contoh : Bunga melur bunga siantan,
Elok disimpan di dalam peti,
Cinta dan sayang bukan mainan,
Harap dibawa hingga ke mati.

Rima pantun yang baik berakhir dengan ab,ab bagi pantun empat kerat dan a,a bagi pantun dua kerat. Selain daripada pembayang, maksud dan rima pantun juga terikat denagn hukum suku katanya. Bagi pantun Melayu, suku kata untuk setiap baris ialah antara lapan hingga dua belas suku kata sahaja.

Melalui bentuknya yang kemas dan padat, pantun berjaya menjadi alat yang penting untuk menghibur, memberi nasihat, menduga akal, meluahkan perasaan, dan menyedapkan percakapan. Pantun turut berfungsi sebagai media untuk menyampaikan hasrat yang seni atau rahsia yang tersembunyi melalui penyampaian yang berkias.

0 comments:

Post a Comment